Showing posts with label memori... Show all posts
Showing posts with label memori... Show all posts

Wednesday, June 23, 2010

Surat cinta buat adindaku, Fatima Zurwanti...

 Bismillahirrahmanirrahim...

Firman Allah s.w.t., " Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.....", Surah Ali 'Imran, 185.

Tinta ini dinukilkan buat adinda yang amat disayangi dan dicintai, Fatima Zurwanti binti Zukifly yang kembali kepada pemilik mutlaknya pada 2.10petang, 3 Rejab 1431 bersamaan 16 Jun 2010.
 
 Wajah yang akan akak rindui selamanya....

Sukar untuk akak menulis entry kali ni..Seribu kepayahan..Menggamit memori dan kenangan lalu ketika kita bersama..tapi..akak gagahkan walaupun akak tahu adik tak mungkin lagi dapat baca tulisan akak..
Rindu..akak sangat rindu adik..terlebih dahulu, akak nak kirimkan salam dan doa buat adik di sana.
"ya Allah, ampunilah dosa2 dan khilaf adikku ini, lapangkanlah rumahnya, terangilah serta luaskanlah tempat rehatnya serta jadikan ia sebuah taman dari taman2 syurgaMu..amiin"

ISNIN, 14 JUN 2010

Selepas maghrib,akak dan sahabat2 di UIA Gombak ke RTM untuk mengikuti perbincangan RMK-10. Tapi disebabkan handphone perlu "off", akak terpaksa "off"kan. Lebih kurang jam 11malam baru keluar studio. Sewaktu dalam perjalanan pulang ke UIA Gombak, akak baru dapat mesej dari kak hawa mengatakan adik kemalangan dan di ICU. Sahabat2 lain sibuk dengan urusan dan perbualan masing2, tapi akak hanya mampu terdiam tanpa kata. Hanya doa yang tak putus2 dan deraian airmata kerisauan mampu menemani. Hanya Allah yang tahu betapa bimbangnya hati akak pada masa tu. Tapi hati akak terlalu mengharapkan agar adik tidak cedera teruk walaupun akak sedar "wad ICU" sudah cukup memberi isyarat bahawa adik berada dalam keadaan yang tidak stabil.

Sesampai akak di bilik kak sakinah (yang adik cakap tak kenal tu), akak rasa penat sangat. Rasa hati nak berehat tapi memikirkan keadaan adik membuatkan hati ini terlalu gelisah dan akak terus plan untuk ke sana awal2 pagi keesokan harinya dan berhajat untuk jaga adik 2 ke 3 malam dengan izin keluarga adik.. Akak terus siapkan keperluan dalam kegelisahan sehingga akak tertidur.

SELASA, 15 JUN 2010

Hari ni kak sakinah exam. Akak bersiap dan  terus keluar ke Central Market,CM. Kat sana, akak dah janji dengan kak hawa untuk pergi sama2. Hidayah, yanti dan fatimah ikut sama. Menghampiri jam 12tengahari kami sampai. Dan kami tunggu kak ju. Masa tu mungkin akak masih dapat berlawak2 kecil dengan sahabat2 namun jauh di dalam hati, risau akan keadaan adik tak mampu diluahkan. 

Tak lama kemudian kak ju sampai, kami dibawa ke ICU. Bagaikan longgar segala sendi2 untuk melangkah mendekati wad ICU dan ke katil adik. Terasa berat untuk melihat keadaan adik. Tapi akak gagahkan kaki dan hati kerana akak dah janji pada diri akak untuk teman dan jaga adik. Tapi, sewaktu akak berada di sisi adik, dekat dengan kepala adik, akak jadi gamam.terkedu.. Subhanallah..Hebatnya kuasa Allah..Yang menjadikan tiap segala sesuatu..Kerdilnya kudrat kita sebagai hamba..

Akak tak mampu untuk tengok adik lama2. Akak keluar dari bilik adik untuk bertenang supaya terus kuat di hadapan keluarga adik untuk kuatkan mereka dan diri akak, namun akak tewas. Airmata dengan lajunya turun membasahi pipi. Akak terus gagahkan hati dan kaki untuk kembali ke sisi adik. Akak hadiahkan doa2 dan ayatul quran yang akak mampu ketika itu. Tapi lama2 akak berada di situ, akak tak mampu bertahan. Akak teringatkan arwah ayah akak. Apatah lagi selepas akak dengar rentetan peristiwa kemalangan yang menimpa adik. Rupanya terlalu banyak persamaan dari segi situasi kemalangan, kecederaan dan lain2 lagi. Akak tak mampu menahan sebak dan takut untuk berdepan dengan apa yang berlaku.

Hidayah, yanti dan fatimah terpaksa pulang ke pj kerana mereka ada urusan. Tapi akak dengan kak hawa tak sanggup keluar dari bilik tersebut, rasa tak sanggup nak tinggalkan adik. Sehingga jam 9malam, kami diminta keluar oleh "guard" kerana waktu melawat telah habis. Dalam melangkah, hati akak terus resah. Resah untuk menanti keesokan hari. Terasa masa terlalu lambat berjalan. Ikutkan hati, ingin sahaja akak terus dekat dengan adik supaya akak dapat teman adik bersama zikir2 dan ayatul quran. Aduh, pilunya hati.

Akak dengan kak hawa turun ke bawah di lobi utama. Badan terasa kepenatan, lalu kami ke surau. Fizikal tersangat ingin untuk berehat, namun akak tak dapat melelapkan mata. Puas dipusing badan ke kiri ke kanan, namun mata tetap masih berjaga. Usai mandi, akak menunggu ke subuh dengan solat hajat untuk adik.

RABU, 16 JUN 2010

Lepas subuh, akak rasa mengantuk yang amat, tertahan2 sehingga akak tertidur selama hampir 2jam. Menghampiri jam9, akak dengan kak hawa keluar ke taman di hadapan hospital. Memandang sekeliling dengan pandangan yang kosong. Alhamdulillah sempat mengisi perut dengan sekadarnya untuk dapatkan tenaga pada hari itu. Kak hawa tak lalu nak makan, dia hanya minum susu. Akak pesan pada dia makan sedikit supaya ada sedikit tenaga untuk hari ni. 

Penat menunggu, jam menghampiri ke 12tengahari. Akak dengan kak hawa terus naik ke wad adik. Tapi sekali lagi kami dihalau kerana belum sampai masa untuk masuk melawat. Jadi, kami berjalan longlai ke bilik menunggu. Lama berada di situ, akak pergi semula ke wad adik. Masa tu, saudara mara adik dah ramai yang datang. Tapi hari ni dokte hanya membenarkan 2orang sahaja masuk untuk satu2 masa. Katanya keadaan adik berada dalam keadaan stabil dengan bantuan alatan dan ubat2an.

Sehingga jam menghampiri 1petang, akak masuk berseorangan melihat perkembangan adik. Masa ni nenek adik ada di sebelah adik. Tapi hari ni, akak tengok keadaan adik berbeza dengan semalam kerana dokte dah cabut wayar yang sedut pendarahan dalaman dan "supporter" di bahagian leher adik. Akak berasa tidak enak tambah lagi akak tengok tekanan darah adik jatuh rendah pada masa tu. Pengesahan itu akak dapatkan dari seorang nurse yang jaga adik. 

Tak lama akak duduk sebelah adik, nurse minta akak dengan nenek adik keluar. Akak rasa tak sedap hati. Akak keluar jumpa kak hawa. Kak hawa tanya akak macamana keadaan adik hari ni? Tapi akak tak mampu menjawab soalan tersebut. Namun, tak lama kemudian, seorang nurse mundar mandir mencari mami dan papa adik. Dan, tak lama selepas itu akak tengok mami adik menangis, dan saudara mara adik seorang demi seorang masuk ke dalam wad.

Saat2 yang paling akak takut akhirnya tiba jua. Semua keluarga sudah ramai memenuhi ruang bilik adik. Namun akak masih setia di luar wad. Bukan akak sengaja untuk lambat2 tapi akak nak hadiahkan surah yassin untuk adik terlebih dahulu dan meminta kekuatan moga akak dapat hadapi apa jua yang Allah telah tetapkan. Pilu menghadapi saat2 akhir bersama adik. Seketika akak tergamam tanpa kata, hanya deraian airmata terus2an yang tak mampu diseka. Akak terus kuatkan hati berdiri di sisi kepala adik dengan membacakan kalimah, "Allah, Allah, Allah, Allah...." untuk adik. Dan akhirnya, seperti yang telah tersurat olehNya, adik telah meninggalkan kami pada jam2 petang. 

Airmata terus menerus basah ke pipi. Sahabat2 banyak yang menelefon bertanyakan berita tentang adik. Hiba tak terkata. Adik pergi dahulu dari akak. Subhanallah...Allahuakbar...Astaghfirullah...MasyaAllah...
Sungguh, kematian itu benar2 menginsafkan.

Semua diminta keluar dari bilik adik. Selepas nurse menanggalkan semua wayar2 yang berselirat di badan adik, akak dan kak hawa masuk semula. Allahuakbar, dalam masa yang singkat badan adik telah menjadi sangat pucat. ya Allah, hati ini sangat pilu dan sayu. Lantaran akak telah berjanji untuk temankan adik, akak meminta izin dari papa adik untuk bersama jenazah adik hingga semua urusan adik selesai.


Dik, akak temankan adik dalam van jenazah sampai ke Tanah Perkuburan Pulau Bahagia, Manir Terengganu. Sayu menyelubungi. Teringat kenangan semalam ketika bergurau senda, tertawa ria bersama adik. Masa tu adik suka buat akak gelak dengan lawak dan telatah adik. Tapi kali ni, adik buat akak menangis. Sepanjang malam dan sepanjang perjalanan akak temankan adik yang telah bisu dan kaku. Akak cuba temankan adik dengan bacaan yassin dan al-fatihah.. Kekadang akak seakan tidak percaya yang akak sedang menghantar adik balik ke tempat asal adik. Allah...beratnya ketika teringatkan saat tu. Tapi akak redhakan hati. Akak nak temankan adik sehingga semua selesai sebab hati akak tak tenang hingga akak melihat semua urusan adik selesai dengan baik.

KHAMIS, 17 JUN 2010

Alhamdulillah..kita sampai di manir jam 7pagi. Van berhenti untuk makan pagi. Akak terus turun dapatkan kak sa. Allahu akbar..akak tak dapat tahan airmata akak dari jatuh. Kemudian perjalanan di teruskan dan kita selamat sampai ke tanah perkuburan jam 8pagi selepas sedikit tersesat jalan. Sesampai sahaja di sana, sahabat2 kita dan saudara2 adik dah sedia menanti. Mereka angkat adik masuk dalam liang lahad dan adik dibawa ke rumah yang khusus untuk adik. Tak jauh dari pusara arwah mama adik. Mesti adik tak sabar nak jumpa mama kan? Akak masih ingat, adik selalu cakap," adik rindu mama"..

Kemudian dibacakan talqin untuk adik. Akak dengar satu per satu. tapi disebabkan akak tersangat kepenatan, akak hampir2 tertidur semasa talqin dibaca untuk adik. Maafkan akak. Tapi saat di bacakan doa, akak kembali sedih. Rupa2nya akak dah selamat hantar adik akak balik kepada Tuan punya. Akak dah selamat hantar adik untuk ke destinasi seterusnya. Cuma akak yang masih di sini.

Alhamdulillah.. walaupun sayu, sedih dan pilu menyelubungi, tapi akak rasa tenang  selepas semua urusan adik selesai. Itu sahaja yang mampu akak berikan pada adik. Temankan adik sejak adik di hospital sehingga adik selamat disemadikan dekat dengan ibu adik, sehingga adik selamat kembali kepada Ilahi. Kalau boleh, akak nak temankan adik di sana. Namun, apakan daya masa akak belum tiba. Masih banyak tugas dan amanah yang terpikul di bahu yang akak perlu laksanakan. 

************************************************************************************
Moga adik berbahagia dan bergembira di sana. InsyaAllah akak akan terus doakan untuk adik di sana.
Akhirul kalam, akak nak cakap sesuatu yang adik nak sangat akak cakap dulu kat adik yang;
"Akak sayang sangat adik..sayang sangat sangat..dan akak pun rindu (adik selalu kata 'windu') kat adik.. selamanya akak akan rindu adik.."
Maafkan akak..Bukan akak sombong atau tak sayang adik bahkan benci adik, tapi akak nak adik jadi seorang muslimah yang kuat yang tidak terlalu bergantung pada akak. Dan itulah hakikat kasih sayang akak pada adik, sehingga adik fikir akak tak sayang adik, tak ambil tahu tentang adik. Maafkan akak..

Tapi akak akan terus sampaikan kasih sayang akak dari sini. Moga ianya sampai pada adik di sana..Akak doakn..

"Ya Allah, adikku ini buah hatiku, pengubat dukaku, penyeri sepiku, warna ceria dalam suram hariku, dialah adikku yang kukasihi yang kusayangi. Dengan namaMu Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, kasihanilah adikku ini, bahagiakan dia di sana, rahmati dan berkati dia di sana..Di jalanMu aku bertemu dengannya, membina ukhwah fillah dengannya, jadikan ia syafaat buatnya di sana. Ya Allah, redhakan hatiku menerima ketentuanku ini dan redhakan jua hati sahabat2nya dan keluarganya untuk menerima perpisahan ini. Ketemukan kami lagi dijannahMu ya Allah..Rahmati kami ya Allah..amiin ya Rabb"

Sunday, January 3, 2010

2009 terpahat diingatan !!



Berakhirnya tahun 2009 bermakna 2010 menjelma..Tulisan ini adalah coretan muhasabah diri mengimbau hadiah juga anugerah, ujian dan dugaan buat insan kerdil ini.. Maka kali ini, ‘aku’ berbicara..

Seawal 2009,di permulaan Januari, saat saudara seagamaku dikecam dan dizalimi di Bumi Anbiya’, Allah mendatangkan ujian kesakitan kepada insan yang kusayangi lagi dicintai..Ibuku, dikejarkan ke salah sebuah hospital besar di salah sebuah negeri di Pantai Timur, di wad ICU..iaitu sehari sebelum aku menduduki 1 kertas peperiksaan ‘midterm’.. 2 ujian serentak dlm satu masa..keesokan harinya, 1 lagi ujian Allah berikan padaku, aku diuji dengan kesakitan..barangkali aku belum mengadu padaNya..menjadikan 3 ujian dalam satu masa..Ingin ditunda paper pada hari tersebut, namun keadaan tidak menyebelahi, kupasrahkan dan kugagahkan langkah menghadapi hari itu.

Petangnya, aku pulang ke kampung bersama kakakku untuk melihat perkembangan ibu. Sayu hati melihat ibu terlantar di hari lahirnya. Ku bisikkan pada ibu, “hari ni hari apa?”, ibu hanya mampu tersenyum dibalik alat bantuan pernafasan yang melingkari wajahnya..Kucium dahinya sambil sarat didadaku mendoakan yang terbaik dari Allah buatnya..

Dalam dilema pencarian penjaga ibu yang sakitnya diperingkat ‘berat’, aku mengambil keputusan untuk menunda pengajianku untuk menjaga ibu..selama satu semester..dalam firasatku hanya ada satu..”ibu memerlukan insan2 yang terdekat dengannya untuk memberi kekuatan padanya, dan mereka tidak lain adalah anak2nya”. kunekadkan keputusan itu..Lalu,menjaga insan yang tersayang yang sedang bergelut dengan kesakitan amat di hospital, mengujiku untuk bersabar dan terus bersemangat agar semangat itu dapat kualirkan pada ibu itu.

Alhamdulillah, Allah masih memberi peluang untuk ibu terus melangsungkan kehidupan..Selepas hampir 2bulan di hospital, ibu dibenarkan pulang dengan syarat2 penjagaan pemakanan ketat serta kawalan ubat2an yang mana tugas jururawat dan doktor akan beralih bahu ke bahuku..Di rumah, selama lebih sebulan mengawal kesihatan ibu, aku dapat merasai betapa ibu itu lelah dengan aturanku..memintanya ‘inject ubat pada masa2nya even di jam 4pagi ditemani aku’, mengambil makanan yang tidak bergula, bersenam ringan dan lain2, hati sedikit hiba..aku merasai peritnya, namun apakan dayaku, itu tugasku..(maafkan adek ye ma, adek buat macam tu sebab adek sayang ma)..

Tiba hari terakhir aku menjaganya, aku harus kembali menyambung tugasku di medan ilmu..aku menyalami ibu dan memeluknya sambil meninggalkan beberapa pesanan buatnya supaya menjaga dirinya dengan baik selama ketiadaanku.. Tanpa kupaksa, titisan airmataku gugur laju membasahi pipi..ibu memalingkan wajahnya, namun kutahu airmata sayunya juga tak dapat diseka..Dan....kutinggalkan ibu dalam jagaan kakakku yang baru pulang bercuti..

Melewati hari2 baru di kampus, aku mencari peluang kerja untuk menambah duit poket. Dugaan yang menimpa, bilamana di suatu hari Allah datangkan kepadaku satu tawaran kerja partime di kedai fotostat..belum sempat aku memulakan kerja, aku diberhentikan tanpa alasan yang mampu kufikirkan..Sungguh Allah mengujiku dengan pemberian sesuatu yang kuharapkan tetapi sementara waktunya.. Tidak lama selepas itu, blog yang kubina mencecah 5bulan mengalami kerosakan teknikal yang tak mampu kucari jalan penyelesaiannya biarpun sudah diminta bantuan sahabat2 lain..Juga pemberian yang sementara..

Memasuki bulan 4 yang mana jatuh tarikh lahirku, aku diraikan oleh sahabat2ku yang sudah kuanggap seperti adik-beradikku..ditambahi lagi dengan adik2 yang kusayangi menghadiahkan aku sebiji kek yang amat kuhargai biarpun harga tidak seberapa kerana nilai keikhlasan mereka lbh tinggi yang tak mampu kubayar.Syukran buat sahabat2 dan adik2..kalian memberi sedikit warna pada tahun 2009ku...

Melangkahkan kaki pulang ke kampung tanpa memberitahu kepada ibu dan ayah, dengan niat untuk memberi kejutan kepada mereka, rupa2nya aku dikejutkan dengan kemasukan ibu ke wad.. Rumah yang berkunci menyebabkan aku tidak dapat memasuki ke dalamnya lalu alu menunggu di kedai makan sebelah rumah yang sudah menjadi jiran akrab keluarga kami..Sesampainya ayah ke rumah yang keluar menguruskan satu masalah keluarga, aku menyalaminya dan menggenggam tangannya erat dalam perasaan sedikit kecewa lantaran aku tidak diberitakan tentang kemasukan ibu ke wad..(namun jauh disudut hatiku aku tahu si ayah itu tidak mahu mengganggu pengajianku)..begitu hati seorang ibu dan ayah..

Cuti yang hanya seminggu menjadikan ianya penuh terisi dengan menjaga ibu di hospital, hanya sempat 3hari berada di rumah..Aku terabaikan si ayah tanpa kusedari..

Berakhirnya itu, aku kembali ke kampus menyambung tugas yang masih berbaki..bulan demi bulan berlalu..Sepanjang memasuki kampus selepas bercuti menjaga ibu di awal Januari lalu, hati ini tidak pernah berhenti dari diuji..masalah demi masalah mendatang..satu persatu datang dan hilang, datang dan pergi..Dan...itulah yang Tuhanku ajarkan padaku..Dia melatih hatiku untuk redha dengan segala apa yang ada..agar aku mengerti setiap yang ada hanya dipinjankan untuk sementara waktunya, yang sampai masa Dia pasti akan mengambilnya kembali..

Kemuncak tertinggi, dugaan terbesar menantiku di bulan Julai yang Allah telah tetapkan dalam rencanaNya..insan tercinta yang dipinjamkan kepadaku mencecah hampir 20 tahun 3bulan sampai masanya diambil kembali olehNya..tiada perasaan mampu diungkapkan mengenang kembali saat dikhabarkan kepergian ayahanda tercinta, hanya airmata yang mampu mengalir dalam tadahan doa mengiringi perjalanannya di sana..tertahan sendu dan pilu saat mengimbau kenangan yang pernah terlukis bersamanya sewaktu hayatnya, lebih pilu mengenangkan akhir hayatnya, aku terabai untuk menjaga kebajikannya..Allah menjanjikan saat rehatnya tatkala semua berasa terlalu dekat dan akrab dengannya..dan tatkala kami masih memerlukannya..Namun kuakur, bahawa perginya ayahanda tercinta mengikut janji Allah..direhatkan dengan kerehatan yang panjang dari kekalutan dunia..

Sungguh aku tidak mampu menyalahkan diriku..sungguh aku tak berdaya mengubah takdir Yang Kuasa apalagi melawannya...jatuh dan tangis itu tidak lagi berguna untukku..kerana aku sedar bahawa tanggungjawabku makin besar untuk menjaga ibu dan keluargaku..

Mengakiri 2009, aku tinggalkan kenangan2 dan ujian yang amat mengajarku erti kehidupan yang mendewasakan aku untuk terus menelusuri jalan2 dengan tinta baru..Muhasabah ini kukongsikan dengan sahabat2 sekalian dengan penuh kerendahan hati dalam mencari makna ‘hamba kepada Pencipta’..moga muhasabah ujian ini terus menyedarkan aku dari lenaku, bahawa aku milikNya dan segala apa yang diberi adalah pinjaman semata2..

Memasuki tahun baru ini, moga Allah tunjukkan jalan dan permudahkan urusanku dan keluargaku dalam mencari hakikat diri insan sebagai hambaNya yang kerdil..

Semoga tahun ini lebih baik dari tahun lepas...




Thursday, December 3, 2009

Ayah ajar kita Sains??..


Wah, sedapnye minuman kat atas tu! kecur liur dibuatnya...yang tak dahaga pun jadi dahaga, yang dahaga ni makin2 la rase dahaga..

Erm..kenapa agaknye saya citer hal secawan air kali ni ye??secawan air dan sains..
Sains dan secawan air...hmm....
JOM KITA tinjau2......

Hmm...teringat zaman hingus masih meleleh (budak lain la, bukan saya..hehe), muka comot comey (saya tak comot, tapi comey..hehehe), masa kecik2 dulu...Selalu ikut mak atau ayah atau kedua2nya pergi kebun..masa tu, saya ingat lagi, kebun kami terletak kat kawasan yang belum ada orang terokai, belum diusik lagi..dihutani dengan pokok2 dan pohon2 sehinggalah diterangi dan dipagari dengan pagar kayu yang dibuat oleh ayah..masa kecik2 dulu...sampai sekarang pun, saya masih suka berkebun cuma kesempitan masa yang selalu menghalang niat..

Cantik pagar yang ayah buat, walaupun hanya dengan batang kayu xxxx(tak tau nama apa, almaklum anak muda zaman sekarang, berapa kerat je yang tau nama pokok kayu) dan gulung dawai(orang qlate panggil :khawak). Baru2 ni, ada saya tanyakan pada mak sebab dah lama sangat rasannya tak ke sana, sejak memasuki tingkatan 1 di sekolah berasrama sampai masuk universiti sekarang ni..dah hampir 8 tahun..tapi saya tak ingat pulak kenapa..

ok, kembali tajuk asal..Sebelum ke kebun pagi2, ayah suka singgah di satu kedai makan..minum2 pagi yang tak sempat di rumah dan makan 'bun' sebiji. Masih segar diingatan saya, tiap kali minum teh tarik kat kedai ngan ayah, mesti ayah akan minta satu piring kecik..alahai, piring yang selalu orang buat lapik cawan tu...hehe..(dalam gambar kat atas pun ada, tapi tak la mahal macam dalam gambar tu ye)..ayah akan minta kalau tak disediakan..tau tak ayah saya buat apa dengan cawan tu? dia ambil cawan air tadi, lalu dituang teh tarik tadi ke dalam piring kecil tu..lagi, ayah saya geleng2 piring tu..(faham kan? kalau tak faham, boleh demo sendiri ye!)

Kemudian, ayah cakap:
"hoh, ambik nih! minum hok dale piring nih, sejuk doh..hok dale cawe tu panah lagi.." (haa, faham tak tu?hehe)
masa tu kan, malunye alahai, tak tau nak cakap..padahal, masa tu kecik lagi.huhu..malu tak pasal2..dan masa tu, tak fikir lagi kenapa bila letak dalam piring cepat sejuk sedangkan dalam cawan lambat sejuk..

Dalam hati:
"malunyo nok minum dale piring nih..bakpo la ayoh buak lagu ni.."
Kawan2, insan yang bergelar ayah atau ibu ni, mereka dapat tahu apa yang bermain di hati anak2 mereka..Tahu apa yang ayah saya buat??
Dia tuang teh tarik dalam cawan dia tadi ke piring kecil yang baru..digeleng2 dan dihirup dengan ekspresi penuh kelazatan...
Lalu apalagi saya ni, hirup la teh tarik dalam piring tadi...wah, seronok rupanya..rasanya pun lain..macam manis2 sikit...tak tau la manis air ke manis pengalaman..

Usai je minum air secawan, roti sebiji, kami meneruskan perjalanan dan kerja kami ke kebun..biasenya ayah beli bekal 4keping roti canai ke kebun, air sejuk dah bawa siap2 sebagai bekalan rehat2 lepas penat bekerja nanti...
-----------------------

Buat suspen je tajuk artikel ni.Hmm...apa kaitannye dengan sains yang saya sebutkan diawal tadi dengan kisah diatas ni?
Sebenarnya si ayah tadi sedang mengaplikasikan salah satu cabang dari ilmu sains walaupun mungkin dia tak tahu pun apa yang dia buat tu adalah sebahagian dari aplikasi ilmu sains..Yang mana, KADAR RESAPAN HABA KE PERSEKITARAN BERKADAR TERUS DENGAN LUAS PERMUKAAN TERDEDAH. Jadi, nak air cepat sejuk, si ayah telah mengalihkan sebahagian minuman dari cawan ke piring yang mana permukaan terdedah lebih besar.

Dan 1 perkara lagi yang saya belajar dari ayah saya sendiri melalui peristiwa ini, "dakwah bilhal"..realiti manusia sukar melakukan sesuatu yang masih baru didengari kepada mereka melainkan mereka melihat sendiri orang lain melakukannya lebih2 lagi orang yang berpesan..Dalam bab dakwah, besar peranan dakwah bilhal..Dakwah inilah yang sangat sukar kita laksanakan, sedangkan dalam sirah Rasulullah dakwah inilah yang begitu banyak menundukkan musuh hingga mereka jatuh cinta kepada Islam.

Begitulah sebuah alkesah yang sudah terkisah...menjadi memori indah dalam lipatan kenangan hidup..indah sangat bila kenang kembali memori yang memberi erti dalam kehidupan..lebih2 lagi bersama insan2 yang tersayang..
Kenangan tinggal kenangan.dan guru itu telah pun selamat kembali kepadaNya...dan meninggalkan pelajaran yang bererti buat anak ini untuk dikutip ke dalam perjalanan kehidupan..


Jadi:
*sayangi ibu dan ayah anda dengan sepenuh hati..jasa mereka tak kan terbalas oleh kita..
*jangan main masa menuntut ilmu, ingat harapan ayah dan ibu..
*saya tahu mungkin ramai orang guna cara piring ni,cuma nak kongsi kisah yang berSAINS ni..hehehe

NANTIKAN CERITA berSAINS YANG SETERUSNYA.....
salam

Saturday, July 25, 2009

Ayah..Dikau pergi dulu...


Syukur pada Tuhan Rabbul jalil..Penguasa sekalian alam..Maha Pengasih,Maha Penyayang..
Syukur pada Allah yang telah mendidik dan mentarbiahku dengan sekecil-kecil ujian terlebih dahulu yang menjadi persediaan dalam menghadapi seberat-berat dan sebesar-besar ujianNya..Mengajarku meredhai kehilangan yang kecil-kecil sebelum mengajarku bersabar dan redha dengan kepergian yang lebih besar dan berat..
Sungguh Allah Maha Hebat merencanakan sebaik-baik ketetapan dan rencana..

Dalam kepiluan..aku masih tersentak dengan kepergian insan tersayang, airmata berguguran..
Sesekali tangis itu tertahan..sebak berdepan dengan kuasa Pencipta..kerdil dan lemahnya kudrat hamba..
Jatuhnya tangisku bukan untuk meratapi pemergiannya dan bukan kerana aku tidak dapat menerima kenyataan bahawa arwah ayah telah pergi, tapi kerana aku tidak berkesempatan untuk membahagiakan arwah semasa hayatnya..Betapa kagumnya aku padanya..Cukup sabar dan tabah menghadapi bermacam-macam ujian dunia..10 tahun akhir ini, arwah terbeban dengan banyak masalah hidup yang berat..Adiknya yang selalu memberi masalah kepadanya, anak lelakinya yang suka buat masalah dan ditambahi lagi ibu yang kerap jatuh sakit..

Sungguh aku bersalah pada arwah ayah..aku tak mampu membantunya..aku terleka untuk ambil berat tentangnya, hanya sibuk menjaga ibu yang sakit..
Teringat pada satu dialog pendek dengannya pada suatu ketika di rumah..
"Kesian ayah..Tengok tv takda siaran.Ada pun, satu dua je.Tu pun tak jelas.Selalu kena betulkan.Kalu adek dah habis belajar, dah kerja, boleh adik beli tv molek untuk ayah",kataku pada ayah.
Kata ayah,"insyaAllah, kalu ayah panjang umur.Kalu tak,takpe la.Kita tak tahu bila mati"..

Betapa pilunya bila mengetahui makcik (adik arwah ayah) memberitahuku, bahawa aku adalah anak yang paling disayangi oleh arwah..
Aku.....yang mungkin selalu bersolat jemaah dengannya, yang mungkin selalu membantu mengangkat barang-barang berat dengannya, yang mungkin selalu bersembang dan yang banyak mendengar buah bicara dan nasihatnya..mungkin..tapi aku jugalah yang pernah terlajak kata dengannya..maafkan adek ye ayah..Maafkan adek..Adek tahu adek salah.Adek tak buat dah. Adek kan dah janji dengan ayah.Adek akan jadi anak yang baik untuk ayah dan ma..
Adek akan ingat dan ikut nasihat dan kata yang ayah tinggalkan pada adek.
Adek rindu, dan adek akan doakan ayah di sana..

Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih kuzahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya

Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rinduku..mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhan kasih sayangmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu
....
Dialah seorang lelaki tua..
Kuatnya mengalahkan orang muda..
Tabah dan sabarnya menghadapi seberat-berat ujian dunia..
Fikirnya mampu menandingi orang yang mengaku bijaksana..

Dialah satu-satunya pembela..
Imam keluarga..
Pengingat yang lupa..
Tiap saat bersamanya adalah berharga..
Hidupnya diselubungi tangis dan duka..
Namun,
Senyum dan tenang tetap mengukir wajahnya..


Ayah,
Allah lebih menyayangimu..
Dijemputmu untuk berehat dari kekalutan dunia..
sungguh kami masih memerlukanmu..tapi
Allah telah tetapkan yang terbaik buatmu..

Ayah,
Doa kami akan sentiasa mengiringi perjalananmu di sana..
moga susah dan sakitmu dibayar Allah dengan syurgaNya..

Ditirai malam aku bersandarkan..
pada dinding kepiluan..
Bersenandungkan merdu suara alam..
terlena di rajutan rindu..

Tiada yang terindah di dunia..
dapat mengganti hilangmu..
Pilihan yang terbaik takkan dapat..
mengisi relung hatiku...

~Salam rindu dan doa dari anakmu~


Ujian Allah, sehebat-hebat tarbiah 2..

Dia memberi petunjukNya..(080709)

Dia ke kelas di pagi itu seperti biasa, tetapi dengan hati yang tidak tenang lantaran baru semalam berlaku sedikit salah faham dengan housematenya dan ditambahi dengan beberapa masalah kecil lain. Dalam kelas, dia cuba memberi tumpuan seperti biasa, walaupun hatinya hanya separuh bersama..

Jam 11pagi..
Miss Linda keluar kelas."Barangkali ada orang memanggilnya..walaupun tak kelihatan",getus hati kecilnya. Miss Linda masuk semula dan tiba-tiba Miss memanggil namanya..
"Maisarah (bukan nama sebenar)!kemaskan semua barang awak. Principal kolej nak jumpa".
Baru semalam dia hello hello dengan principal. Berbagai persoalan mendatangi fikirannya. "Adakah kerana hal semalam? Atau mungkinkah ada sesuatu yang telah terjadi?".Ligat kepalanya memikirkan sesuatu.
"Atau berlaku apa-apa ke pada mak atau ayah aku? Ya Allah, redhakan hatiku andai ini ketentuanMu. Dan aku terima jika ini yang terbaik dariMu",bicara hati kecilnya.

Kakinya dihayun menuju Mahallah Office dengan langkah bersahaja tapi walaupun hatinya mula mengalami debaran yang pelik iramanya.

Memasuki ke perut ofis, Mdm.Y keluar dan terus menunjukkan ke arah seseorang yang berada di dalam bilik kecilnya kepada Maisarah. Alangkah terkejutnya apabila dia mendapati kakaknya di situ. Terus fikirannya menangkap sesuatu. Allah memberi firasat di hatinya..Lalu dia terus mendapatkan kakaknya.


Imam Besar Keluarga dijemput kembali..

"Maha Suci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, dan Dia MahaKuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya, Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun"

(Al-Mulk:1-2)
"Kenapa kak? Kak, sabar ye. Apa yang berlaku?", dia cuba untuk menenangkan kakaknya..
"Ayah.."..
"Ayah???"
Lalu tumpahlah air jernih ke pipinya melaju, selaju air di terjunan..
"Ayah..su..Ayah dah takda..accident..",tenggelam timbul suara kakaknya mengkhabarkan berita itu.
"MasyaAllah..ayah aku dah takda??",seolah gelap dunia dirasakannya..

Dalam melangkah menuju ke bilik, mengemaskan apa yang perlu untuk pulang ke kampung dan dalam sepanjang perjalanan, hatinya penuh tanda tanya dan bimbang dengan keadaan ayah...
"Bagaimana keadaan ayah? Teruk ke accident tu? Accident dengan apa? Dah dibawa ke hospital ke? Bila nak dimandikan?". Hendak saja diajukan semua persoalan itu pada kakaknya.. Tapi memandangkan kakaknya memandu kereta, lalu disimpannya sahaja soalan itu dari kakaknya.

Dalam perjalanan, banyak mesej yang diterima dari kakaknya yang berada di kampung..

"Ayah accident teruk su..Duk bawah trak askar. takda kat tempat tu jugak..Anak ayah yang sulong ngan yang ketujuh pergi tengok kat situ.Dua-dua lembik, rebah bila tengok ayah. Saudara-mara yang pergi situ ramai nangis..Orang kampung ramai kat situ masa tu."

"Jenazah ayah dah dihantar ke hospital, tapi tak sampai rumah lagi.."

"Penuh darah kat kepala. Mula-mula tengok, tak nampak wajah ayah. Angah ngan aji cuci luka ayah. Muka dia dah senget sikit. Tangan belah kiri patah. Dada belah kanan timbul sikit. Kaki kanan dia kena tindih dengan tayar trak.Ada kesan tayar lagi..Banyak kecederaan dan patah-patah dalaman. Sedih sangat tengok ayah,su", begitulah last mesej yang diterima dari kakaknya.

Tapi semua mesej yang diterima tidak dikongsi dengan kakaknya yang sedang memandu. Bimbang kakaknya tak dapat tumpukan perhatian pada pemanduannya.
Menitis airmatanya menahan pilu..
Segalanya berlaku dalam sekelip mata..masih terpinga-pinga..

Terasa seperti lama benar perjalanan pulangnya kali ini. Lewat perjalanannya sampai ke destinasi, mereka terus ke rumah anak sulong ayah yang menempatkan ayahnya. Sesampainya, Maisarah terus berjalan melaju berlari-lari anak memasuki rumah yang halamannya sudah dipenuhi sesakan manusia.

Dalam gentar, dia terus mendapatkan jenazah ayahnya. Dicubanya untuk berlaku setenang mungkin berhadapan jasad ayahanda tercintanya yang sudah kaku yang kini berada di hadapannya. Waktu itu, jenazah sedang dikafankan. Tapi alhamdulillah dia sempat melihat, menyentuh dan mencium ayahandanya buat kali terakhir. Terketar-ketar tangannya merapati dan mengusap pipi ayahnya. Berkat bacaan yasin, alfatihah dan doa yang tak putus-putus sepanjang perjalanan, Allah kurniakan kekuatan padanya agar tidak menumpahkan airmata sewaktu dihadapan jasad ayahnya.

Pilu hatinya melihat wajah ayahnya dipenuhi tompokan darah beku di seluruh muka dan beberapa garis luka dalam di kepala yang menampakkan tempurung kepala. Tidak dapat digambarkan kepiluannya. Namun melihatkan wajah ayah yang seolah-olah sedang tersenyum dan tenang, memberinya kekuatan dan ketenangan untuk meredhai kepergian ayahanda tercinta. Tambah kakaknya,walaupun banyak kecederaan yang dialami ayah,tapi semua masih dalam keadaan baik. Tiada yang terputus@ terkulai..
Tambah lagi, kata kakak, orang yang mengangkat dan mengusung jenazah ayah ada beritahu terasa ringan dan mudah mengangkatnya..Alhamdulillah..Allah Maha Kuasa..Mempermudahkan setiap urusan hambaNya yang dikehendakiNya..

Dan alhamdulillah semuanya berjalan sempurna. Sesuai dengan kehendak dan ketetapanNya..
-------------------------------------------

p:s/ ini adalah kisah benar, bukan rekaan atau mimpi semata-mata..moga terdapat sedikit iktibar untuk kita bersama..Wallahua'lam

Friday, July 3, 2009

Perginya Ditaqdim Ilahi..



Baru pulang dari bekerja lewat mlm tadi, saya di berikan mesej yang diterima oleh seorang rumate yang juga sudah dianggap seperti kakak sendiri..Alangkah terkejut dan terkedunya perasaan apabila membaca mesej yang tertera di skrin..MasyaAllah, terasa dekat sangat..Segalanya berlaku dalam sekelip mata..
Apa tidaknya, baru tadi, sewaktu saya bekerja di cc, saya membaca satu entry mengenai kematian di salah satu blog sahabat..dan seolah2 telah bermain2 di kepala,lagu 'kau sahabat kau teman'..entah kenapa, tapi semuanya berlaku tanpa apa2 perasaan pelik yang mampu untuk aqal cetek ini fikirkan..


Mesej diterima berbunyi,
"Askum.Nabil sahabat yang kita cintai kerana ALLAH S.W.T. telah kembali ke rahmatullah..mintak sahabat hadiahkan al-Fatihah (7x) & al-Ikhlas (11x0..moga roh allahyarham ditempatkan dikalangan auliya' & solihin..

Tak tertahan rasa airmata dari menitis..satu persatu kenangan semalam menyinggahi kotak fikiran..Bagaikan baru semalam berjumpa dengan arwah..seolah masih dekat arwah di alam fana ini..Masih segar diingatan sewaktu menziarahi arwah yang telah dimasukkan ke hospital Teluk Intan sejak bulan Mei lalu..

Tidak banyak yang saya kenali mengenai arwah, tapi selama bekerja dalam satu organisasi, arwah sangat disenangi kerana sifatnya yang tenang dan bersahaja.Malah arwah juga seorang yang periang dan mudah bersahabat. Mengenali dan bekerja bersama arwah, walaupun hanya setahun lebih, tetapi telah meninggalkan sesuatu yang berharga buat sahabat2 untuk terus mengingatinya dan merasai pemergiannya..

Dan malam tadi, tanggal 2 Julai 2009, bertepatan malam jumaat, akh Nabil Marwan telah kembali menghadap Ilahi..Dan pagi ini, saya dan beberapa sahabat pergi menziarahi ke rumah arwah..Hajat hati untuk melihat arwah buat kali yang terakhir.Apapun, Allah lebih dahulu menetapkan rancanganNya..sesampainya kami di sana, arwah sudah dikebumikan..Sempat kami berjumpa ibu kepada arwah..

Melihat wajah si ibu, sayu rasa hati..Mungkin harus dan bisa sekali mengucapkan kata SABAR dan REDHA padanya, namun bagaimana agaknya jika kita suatu hari nanti berada di tempat si ibu, mampukah kita untuk menahan kesedihan kepergian seorang anak yang disayangi..Dari cerita yang saya sempat dengar, kata ibu saudara arwah, lewat sebelum kematiannya, mata arwah kelihatan bersinar2 dan kata ibu arwah, mulutnya sentiasa terkumat kamit berzikir..Tanda orang yang soleh..Alhamdulillah..Arwah pergi dalam keadaan husnul khatimah..

Suratan Allah taala..Hebat kuasaNya..meliputi seluas langit dan bumi..Dalam sekelip mata, Dia bkuasa menetapkan apa sahaja..Moga pesanan yang pernah dikongsi arwah selama ini dapat kita ambil iktibar dan pengajaran untuk pedoman buat kita yang tinggal meneruskan perjalanan..Yang pasti KEMATIAN itu dekat.Sedekat azan dan iqamat..cuma, menanti masa yang sesuai untuk kita dipanggil kembali mengadapnya..

Dikesempatan ini, untaian doa dan kata2 buat keluarga kepada arwah,sahabat yang sangat di kasihi oleh ramai sahabat2nya..
Ya Allah, Berikanlah kekuatan buat ibu, ayah dan keluarga sahabat kami, Nabil Marwan untuk menghadapi ujian yang Dikau berikan pada mereka..
Ya Allah, Limpahkan rahmat dan barakahMu atas keluarga arwah sebagaimana Dikau melimpahkan rahmat buat si mati..
Ya Rabbi, Dikau jua yang Maha Tahu yang terbaik buat hamba-hambaMu..Engkau telah berikan yang terbaik buat sahabat kami, lalu berikanlah yang terbaik pula buat keluarganya..Kerana Dikau Maha Tahu sedang kami tidak mengetahui..
Amiin..

Doa buat arwah, akh Nabil Marwan..
Ya Allah, Kau tempatkanlah dia di kalangan hamba2 Mu yang beriman dan beramal soleh.
Ya Allah, Kau yang telah memberi ujian kesakitan padanya, maka jadikanlah ia sebagai penghapus dosa2nya,
Ya Allah, Kau sahajalah yang mengetahui betapa tabah dan sabar dia menghadapi segala ujianMu,
Ya Allah, hanya Kau jualah yang tahu betapa dia bersungguh2 dalam membela agamaMu.
Ya Allah, Kau rahmatilah dia, tempatkan dia di sisiMu. Amin..

Kau Sahabat Kau Teman..

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mngenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa

Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatehah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Ku sahabatku kau teman sejati

Moga tenang dan amanlah dikau di daerah sana..
Ya Allah, berikan kami kekuatan agar kembalinya sahabat yang kami kasihi padaMu tidak menjadi pelemah perjuangan kami bahkan menambah semangat kami untuk berjuang dan menambah jua rindu kami untuk bertemu denganMu..sampaikan kami padaMu jua dalam kebaikan..amiin


Sunday, May 10, 2009

Ibu vs Saya..

Assalamualaikum..
Sidang pembaca sekalian..

Rasenya rata2 di antara kita alert yang kita sedang meraikan suatu hari yang agak penting untuk kita sambut..iaitu HARI IBU..tapi saya sendiri tak tau bila jatuhnya hari Ibu bagi tahun ni..huhu..

Di sini, saya nak ucapkan SELAMAT HARI IBU kepada umi tercinta yang berada di rumah..moga umi terus gagah dalam meniti hari2 mendatang dan sabar menghadapi ujian Allah padamu..

Kali ni, pencoret kalam rasa nak tulis sesuatu tentang umi pencoret dalam blog ni..maaf, bukan
berniat untuk dijadikan diari tapi sekadar perkongsian untuk sama2 direnungkan..

warning: kisah ni agak panjang..

Umi dilahirkan pada 5 Januari 1962. (itu pun ikut dalam kad pengenalan la, yang sebenar mungkin betul dan mungkin berubah)..jadi, dikira2, tahun ni, 2009, umi sudah mencecah usia 47 tahun..dah berusia umi..bermakna, pencoret juga dah berusia..makin dekatlah menuju hari menemuiNya..

Ditakdirkan Allah, pada 4 Januari lalu (2009), umi dikejarkan sekali lagi ke hospital besar selepas hampir 7tahun meninggalkan hospital yang mana 7 tahun lalu, menjadi kampung kami sekeluarga selama lebih setahun..episod ujian besar kembali..waktu ni, disebabkan saya tidak berada disamping umi, saya tidak tahu bagaimana sebanarnya yang menyebabkan umi dikejarkan ke hospital..adakah kerana gula dalam darahnya tinggi ke paras bahaya atau in medical term (hyperglisemia) atau high blood pressure yang terlalu tinggi???saya tidak pasti..

Pada waktu tersebut, saya masih di kampus menyambung pengajian di tahun kedua..pada masa tersebut,pencoret tidak merasakan apa2..mungkin Allah dah suntikkan kekuatan untuk hadapi keadaan ni diawalnya lagi..entah kenapa pagi 4 Januari tu, jari kanan ni rase sanagt nak call rumah..mungkin sebab saya merasakan yang saya dah hampir 2minggu tidak bertanya khabar bonda dan ayah di kampung..bila call, kakak kata nak bawa umi ke hospital sebab kurang sihat sahaja..tapi hati ni tak selesa untuk berdiam tanpa terus tahu perkembangan semasa di sana..lalu, lebih kurang jam4 pagi, pencoret menelifon kakak..dan diberitahu, bahawa umi dalam keadaan tak sedar diri..dan dokte mengesahkan dia hyperglisemia..masyaAllah..

Terkejut jugak masa tu..tapi saya kuatkan jugak..kalau tak silap, pagi tu, ada paper midterm understanding in Islam..tambah lagi Allah hadirkan ujian pada pencoret sendiri..ujian kesakitan..tapi, nak tak nak, kena jugak ambik paper hari tu..hehe..rumate la yang banyak membantu menenangkan meredakan kesakitan..syukran ya rumate habibi..besar pahalamu di sana..
dan lepas je habis exam, pencoret terus pulang ke kampung..menuju ke hospital dimana umi dikejarkan..ke tahunya dalam perjalanan, umi dimasukkan ke wad icu, rawatan rapi..berkampung lagilah kat sana jawabnya.....

Masuk minggu ke dua umi di dalam wad, kakak pulak kena masuk kolej..katanya tak boleh tunda..yela, register masuk tahun baru kan....macam tu la kot..tapi, selama hampir 2 minggu ni, kakak lah yang menjaga umi di hospital, yang menemani umi masa mula2 dikejarkan ke hospital hari tu..lalu, timbul la masalah....masalahnya adalah, takda siapa yang dapat jaga umi di hospital..walaupun keadaannya waktu tu, belum sedar dan masih dalam rawatan rapi, penjaga tetap diperlukan...mak2 sedara...blah ayah, dah berusia..blah umi plak, ada yang dalam mengandung, ada yang ada anak kecik dan yang lain ada masalah masing2..nak simpulkan, takda orang yang boleh jaga umi masa tu..

Lalu, as the last option, saya menawarkan diri untuk tangguh pengajian demi menjaga umi tercinta yang sedang terlantar diuji kesakitan tanpa teman..di saat keputusan dibuat, pencoret rasa kalau boleh nak balik cepat sikit. pada pencoret, di waktu2 begini, umi sangat memerlukan seseorang dekat dengannya apatah lagi anak2..apa guna ada anak, jika masa sakitnya tiada yang dapat menjaganya..pencoret berfikir2, "andai aku yang melalui keadaan ini, adakah anak2ku sanggup untuk melakukan ini kepadaku????"..atas dasar tanggungjawab jugalah pencoret membuat keputusan ni..


Bila dah ambik cuti dan pulang ke kampung, rasa sunyi plak..yela, kuliah takda, teman2 dan sahabat2 semua jauh2..sunyi sangat..kadang2 masa tu, ada jugak rasa down tapi bila pandang wajah umi yang sedang lena di katil putih hospital, pencoret kembali rasa kuat..kenapa??sebab, pencoret perlu kuat untuk kuatkan orang2 di sekeliling pencoret..ayah yang sudah terlalu tua untuk memikul ujian2 begini, kakak2 dan abang yang tidak seperti pencoret yang telah melalui tarbiyah islami..kerana itu pencoret harus kuat..tatkala, yang lain sudah tak mampu untk melihat wajah umi yang terlantar di katil wad icu, dengan keserabutan pelbagai jenis dan warna wayar dan alatan, memang sungguh menyayatkan..dan satu perkara yang menguatkan pencoret jugak adalah, bila memikirkan saudara2 seagama di bumi Palestin yang sedang diuji dengan ujian yang jauh lebih hebat dari apa yang Allah bagi pada keluarga pencoret..masyaAllah..

Setelah berhari2 menjalani rawatan di hospital berkenaan, alhamdulillah, umi dibenarkan pulang ke rumah selepas menyelesaikan berbagai prosedur hospital yang kurang sistematik dan menyusahkan..sekembali pula ke rumah, ujian lain pula mendatangi..dengan kondisi rumah yang sukar bagi umi untuk bergerak kerana umi masih belum mampu berjalan dengan sempurna, dengan penyediaan makanan untuk umi dan yang lain, dengan pengurusan rumah dan bermacam2 lagi yang perlu diuruskan..tatkala itu, pencoret rasa sangat rendah hati dan tersentuh bila merasai bagaimana mengambil alih tugas umi selama menjadi surirumah sebelum sakitnya..Hebatnya insan yang bernama IBU,UMI,MAMA,MAK dan MUMMY..

Selama lebih dari 2bulan menjaga umi di kampung dengan bermacam2 pengalaman dan dugaan, pencoret terpaksa meninggalkan umi sendiri tanpa lagi bantuan dr sesiapa melainkan hanya suami semata..pencoret perlu kembali penyambung pengajian yang dah ditinggalkan..berat hati meninggalkan umi yang masih lemah untuk berdiri, apatah lagi menguruskan kerja2 rumah yang menuntut tenaga yang tidak mampu ditanggung oleh badan lemah sepertinya..
Badan umi juga makin susut..sangat susut..kesian sangat lihat umi..
sebelum meninggalkan umi, sempat pencoret berpesan agar dijaga makan dan kesihatan..namun, belum pun sempat pencoret berkata2, air jernih sudah mendahului jatuh dari kedua2 pelupuk mata seorang ibu dan anak..
dan ditinggalkan jua..

Buat umiku yang disayangi Ilahi....
ini kalam dari anakmu...
"umi, ku tahu penatmu membesarkan kami..
ku tahu lelahmu menghadapi kerenah kami..
maafkan kesilapan kami..maafkan keterlanjuran kami..
maafkan kata2 kami..
umi, maafkanlah kesilapan selama menjaga umi..
maafkan kerana menghalang itu dan ini dari umi..
maafkan kerana terlalu banyak memesan pada umi..
bukan apa..
kerana sayang sangat pada umi..
sayang sebab tak mahu umi sakit lagi..
sebab sekarang, dah tak dapat jaga umi..
umi dah seorang dan perlu buat sendiri..
maafkanlah umi..
terima kasih umi..
atas pengorbananmu membesarkan kami..
rela tidur lewat bersengkang mata mencari rezeki..
rela diri terabai kerana kami..
terima kasih umi..kami takkan mampu balas jasa umi..
moga umi sentiasa dilimpahkan 1000 kebaikan dari Ilahi,
dan dijauhkan 1000 keburukan dari umi..
dan doa ini takkan terhenti selagi hayat masih diberi.."


Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya

Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar
tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia

Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu

Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata

Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan


coretan ini saya tujukan khusus untuk umi walaupun saya tahu umi takkan pernah dapat membacanya..
salam sayang dari anakandamu...
Maziah binti Mat Abd Ghani..
10 Ramadhan 1409
Isnin..6pagi


Thursday, April 16, 2009

The Most Memorable Day..

Syukran buat shbt2 dan adik2 yang disayangi dan dirahmati Ilahi..syukran buat kalian..mungkin biasa bagi kalian..tapi amat terkesan bagi saya..perjalanan hidup saya, saya simpulkan dengan perkataan 'istimewa'..istimewa??susah ek nak rungkaikan, nak terjemahkan dan nak diceritakan.....


hmmm...nak dijadikan ceritera....saya ditakdirkan dilahirkan ke dunia pada pertengahan bulan april 1989, hari isnin..kalau tak silap, bulan ramadhan atau bulan syawal..mula membuka mata dan melihat dunia di ceruk perkampungan yang masih damai dengan keindahan alam..diberi nama sebagai kampung pangkalan kubur..(tak tau camana dapat nama tu, tal pernah lagi saya jumpa satu pengkalan perkuburan..kata orang tua2, kuburan tu kat dalam2 lagi..maksudnya, belum diteroka kawasannya) menetap hingga kini di daerah kesayangan al-besuti, terenjanu..
mempunyai ibu, ayah, dua kakak yang comel2 dan seorang abang yang nakal..huhu...

dibesarkan dengan didikan yang separa..??memfokus pada subjek yang nak disampaikan....
sepanjang hidup saya, saya tak pernah sambut hari lahir atau anak2 buah saya kata 'besday'..dari kecil, hanya kami adik beradik je yang ingat hari lahir sesama kami..and wish la on that day..dan yang paling2 saya ingat, masa saya kcik2 dulu,satu hari di bulan april......

kmi adik beradik berpakat sama2, kumpul duit sikit2 sorang and beli makanan ringan (ni masa kecik2 laa) kat kedai runcit sebelah..then kami campurkan semua dalam satu bekas..kami makan sorok2 sebab ayah saya melarang kami makan makanan ringan..makan bawah meja jelah jawabnye...tapi seronok walaupun tak formal dan dalam keadaan macam pencuri kan??hmmm....

dan hari ini, satu hari dibulan april 2009, merujuk pada umuq saya yang dah menjengah 20an..wah...dan mula ada nomboq 2 kat depan tu..hari ini, jam 0012 pagi, sahabat2 saya mengejutkan saya yang baru pulang dari keje dengan menyambut hari lahir saya dibilik saya...saya terharu sangat2.. jazakumullahu khairan jazak..

kelas saya hari ni berterusan dari seawal jam 8pagi sampai 1petang..agak penat..tambah plak lepas tu kena keje..kemudian, di petang hari tersebut, saya dikejutkan sekali lagi dengan kedatangan adik2 comel ke bilik juga selepas saya pulang keje...menyambut hari lahir saya...masyaAllah...terharu bangat baah..



this is the most memorable day in my journey called life..syukur yang tak terhingga kehadrat Allah yang mengurniakan ini kepada saya..mungkin bagi insan lain kejadian seperti yang saya alami ini hanyalah biasa dan tak ada apa2..tapi bagi saya...ia suatu kenangan yang sangat bermakna dalam hidup saya...dalam prestasi dan motivasi diri yang sedikit merudum selepas berbagai perkara satu persatu menyinggah hidup, Allah hadiahkan kemanisan ini buat hambaNya yang kerdil ini....

terima kasih ya Allah...
terima kasih Tuhanku...
terima kasih atas hikmah dan nikmatMu..
sungguh Engkau Maha Tahu yang terbaik untuk hambaMu..
sungguh hambaMu ini masih jahil...
ampunilah hambaMu ini yang kekadang menafsir membuta tuli akan hikmah ketentuanMu buat hamba..

~seandainya diri ini, mampu meraih cinta dan keredhaanMu....
seandainya akulah insan yang terpilih, pimpini diriku ya Allah~
p/s:nukilan ini saya ilhamkan khusus buat sahabat2 dan turut tidak dilupakan kakak saya yang tersayang, yang banyak berkorban untuk keluarga dan adik2..moga Allah beri petunjuk pada kalian, dan permudahkan urusan kalian dalam mencari dan meraih redha serta maghfirahNya...amiin..


Photobucket